Persembahan menarik Katrina dan Zylane bukan saja memukau penonton, malah mencuri perhatian juri yang menghadiahkan 75.3436 mata kepada pasangan negara itu untuk membolehkan mereka me­ngatasi dua pasangan tuan rumah.
Peluang untuk Katrina dan Zylane dikalungkan emas cerah kerana 50 peratus daripada markah yang diraih dalam di­si­p­lin duet teknikal semalam akan dicampur dengan markah yang bakal diperoleh dalam rutin bebas hari ini, sebelum mereka bersaing pada peringkat akhir esok.

“Saya puas hati dengan persembahan hari ini kerana peluang untuk memenangi pi­ngat emas ada, namun kami kena kekal fokus apabila turun dalam rutin bebas esok (hari ini). Tunggu dan lihat apa akan berlaku,” kata Katrina.

Pasangan Singapura, Chen Mei Qi dan Crystal Yap Yu Hui mengekori di tangga kedua de­ngan 73.9705 mata, manakala rakan senegara mereka, Chen Mei Qing dan Soh Li Fei di tempat ketiga menerusi 70.4160 mata.

Hari ini, semua lapan pasa­ngan yang bertanding akan turun sekali lagi untuk memperagakan kehebatan masing-masing dalam rutin bebas dan hanya enam terbaik akan melayakkan diri ke final esok.

Sementara itu, Zylane berkata, mereka akan berusaha untuk mempamerkan aksi konsisten agar tidak tersasar daripada landasan mendapatkan pingat emas.
“Sasaran kami adalah cuba mengekalkan kedudukan teratas dalam rutin bebas esok.
“Kami tidak boleh cepat berpuas hati dengan keputusan hari ini, sebaliknya kami perlu kekal konsisten sehinggalah saingan akhir,” ujar Zylane.