Wednesday, June 3, 2015

Sukan SEA: Katrina-Zylane Perlu Perkemas Gerakan Untuk Raih Emas

RATU renang berirama Malaysia Zylane Lee (kiri) dan Katrina Ann Abdul Hadi beraksi dalam acara renang berirama berpasangan pada Sukan SEA ke-28, di Singapura. - Foto Osman Adnan 

SINGAPURA: Ratu renang berirama Malaysia, Katrina Ann Abdul Hadi dan Zylane Lee berada di landasan terbaik untuk merangkul pingat emas acara renang berirama berpasangan pada Sukan SEA ke-28, di sini. Selepas permulaan cemerlang pada aksi pembukaan di Pusat Akuatik OCBC semalam, Katrina Ann dan Zylane sekali lagi mendahului saingan itu selepas pusingan awal rutin bebas berpasangan dengan mengutip 76.3333 mata. 

Pasangan negara itu mendahului dua gandingan tuan rumah, Stephanie Chen-Crystal Yap dan Natalie Chen-Debbie Soh yang masing-masing di tempat kedua dan ketiga selepas mengumpul 75.2333 dan 72.7333 mata.

Pada aksi pusingan awal rutin teknikal semalam, pasangan Malaysia itu mengumpul 75.3436 mata. Walaupun mendahului pusingan awal rutin bebas, Katrina Ann berkata mereka perlu memperbaiki lagi dari aspek teknikal untuk berada di landasan tepat dalam meraih pingat emas. 

"Kami melakukan sedikit kesilapan teknikal terutama dalam pergerakan seirama yang tidak begitu tepat. Ia rutin baru kami dalam tahap kesukaran yang tinggi dan agak sukar untuk mencapai pergerakan seirama yang sempurna. "Pada pusingan akhir esok, kami harap dapat mengurangkan kesilapan pergerakan kami. 

Kami sudah melakukan yang terbaik hari ini dan mahu terus menjadi lebih baik (esok)," kata atlet berusia 22 tahun itu. Nada sama turut disuarakan pasangannya, Zylane bagi menghadapi pusingan akhir esok. "Kami tidak akan mengubah rutin sebaliknya kami perlu memastikan pergerakan kami lebih sempurna. Kami akan cuba mengelak daripada melakukan kesilapan," kata Zylane. - Bernama
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/58938

No comments:

Post a Comment