SINGAPURA – Malaysia terpaksa berpuas hati apabila sekadar merangkul pingat perak dalam acara renang berirama berpasukan selepas tewas kepada pasukan tuan rumah, Singapura pada aksi yang berlangsung di Pusat Akuatik OCBC malam tadi.
Skuad negara yang dibarisi Katrina Ann Abdul Hadi, Foong Yan Nie, Gan Hua Wei, Gan Zhen Yie, Kwong Zhi Kei, Zylane Lee Yhing Huey, Lee Yiat Lum dan Tasha Jane Taher Ali hanya berjaya memungut 146.5204 mata.
Keputusan tersebut sekali gus menyaksikan pasukan negara terpaksa melepaskan kejuaraan yang dimenangi empat tahun lalu pada Sukan SEA ke-26 yang berlangsung di Palembang, Indonesia.
Pingat perak tersebut cukup bermakna buat Malaysia kerana ia merupakan pingat kedua yang dimenangi selepas beregu wanita acara ping pong menyumbang pingat gangsa kelmarin.
Seperti diduga, Singapura berjaya meraih emas untuk cara ini apabila mencatat 150.8445 mata melalui perbezaan mata tipis dari aspek teknikal dan artistik berbanding skuad negara.
Pingat gangsa dimenangi Indonesia selepas mencatat 138.1796 mata. Acara tersebut hanya disertai empat negara termasuk Thailand.
Sementara itu, ketua pasukan, Katrina Ann berkata, dia dan rakan sepasukan lain telah melakukan yang terbaik dan berpuas hati dengan keputusan tersebut memandangkan Singapura juga merupakan lawan yang agak kuat.
“Persaingan kali ini lebih sengit berbanding Terbuka Jepun yang kami sertai bulan lalu. Jadi, kita tidak meletakkan harapan yang tinggi.
“Kami juga melakukan sedikit perubahan pada rutin yang menambah tahap kesukaran. Walau apa pun kami berpuas hati dengan keputusan ini dan Singapura telah melakukan yang terbaik,” katanya.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0604&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz3c5UOcn7w
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment